Orang Asli Borneo Utara: Longgokan Kulit Siput Laut dan Kulit Kerang di beberapa puncak Bukit Kelawat Kota Belud, Sabah, Malaysia Timur.

 [Sila lihat cerita berkaitan - Orang Asli Borneo Utara: Longgokan Kulit Siput Laut dan Kulit Kerang di Bukit Tudu, Kulambai Kota Belud, Sabah, Malaysia Timur. ]

Peninggalan longgokan kulit siput laut dan kulit kerang yang banyak ditemui di beberapa lokasi di puncak bukit pesisir pantai Mukim Kelawat Kota Belud.
Jarak jauh di antara lokasi pertama dan kedua ialah lebih kurang 200 meter dan di satu lokasi lagi sejauh 1.5 kilometer dari lokasi kedua.
Longgokan kulit siput adalah pada skala besar kerana kulit siput ditemui sedalam di antara 0.5 - 2 meter di bawah paras tanah dengan keluasan 800-1000 meter persegi.
Longgokan dan taburan kulit siput ditemui di beberap puncak banjaran bukit pesisir pantai Mukim Kelawat. Ketinggian bukit ialah lebih kurang 100 - 150 meter di atas paras laut dan jarak dari laut ialah lebih kurang 1.5 kilometer.
Tanda tanya ?
- siapa kah orang yang meninggalkan longgokan kulit siput ini?
(Kemungkinan siput laut menjadi sebahagian dari makanan penting mereka. Ditemui batu-batu yang mungkin dipilih khusus dan diperolehi dari tempat lain yang dipercayai digunakan sebagai alat memecah siput. Kemungkinan batu ini diperolehi dari sungai berdasarkan bentuk dan ciri-ciri batu yang biasanya hanya ditemui di sungai dan berbeza dengan batu yang boleh ditemui di pantai laut. Jarak sungai yang terdekat dari lokasi ini ialah lebih kurang 20 kilometer. Mungkin juga batu laut, yang mereka pungut dari tepi laut berdekatan ketika mencari makanan laut.)
(Mereka juga menggunakan pinggan dan mangkuk siramik, tembikar, logam perhiasan. Selain dari siput, binatang juga menjadi makanan mereka kerana ditemui banyak tulang-tulang binatang di lokasi ini.)
- bilakah penempatan ini ditinggalkan?
(Tidak diketahui. Tapi kemungkinan penempatan ini ditinggalkan sebelum tahun 1600, berdasarkan usia datuk yang menceritakan kepada penulis kisah penampatan ini. Datuk ini dilahirkan pada tahun 1898. Dari pecahan pinggan diperhatikan lukisan pada dasarnya bermotifkan ikan dan pinggan yang dipercayai dikeluaran dari tanur purba di Sukhothai (Siam) di awal dinasti Ming [TM 1370 - 1400..].)

 - berapa lamakah mereka di sini?
(Tidak diketahui. Bagaimanapun dipercayai jangka masa mungkin lama berdsarakan jumlah besar longgokan siput dan kerang)
- mengapakah mereka meninggalkan penempatan ini?
(Tidak diketahui. Bagaimanapun sebab utama, berdasarkan maklumat yang dicerita oleh seorang datuk, ialah mencari tempat yang lebih selamat dari ancaman dan serangan serta gangguan dari orang luar. Penulis berpendapat sumber makanan masih ada kerana lokasi penempatan ini berdekatan dengan punca makanan seperti laut dan hutan.

Ataupun mereka meninggalkan tempat ini disebabkan berlaku kemarau panjang dan kesukaran mendapatkan sumber air minum serta makanan berasaskan pertanian. Sumber air minum mereka dipercayai diperolehi dari mata air bukit berdekatan. Penempatan ini lebih kurang 20 kilometer jauh dari sungai besar Sungai Kadamaian, Daerah Kota Belud. Mungkin juga penduduk lenyap disebabkan wabak penyakit, bagaimanapun setakat ini tidak banyak tulang manusia ditemui.)

- di manakah mereka sekarang?
(Tidak diketahui. Dari cerita seorang datuk, mereka berpindah ke arah Gunung Kinabalu utara iaitu dekat Marak Parak, Daerah Kota Marudu).

- apakah kegiatan utama mereka?
(Tidak diketahui. Mungkin sekadar mencari makanan, bercucuk tanam, melibatkan aktiviti tukar barang. Jika mereka berdagang mungkin melibatkan jenis pertukaran barang/komditi dari hutan (seperti daging kering, damar, kulit kayu dsb.) dengan barang/komoditi dari laut (seperti garam, ikan kering dsb.) di antara penduduk pantai dan penduduk pedalaman. Ataupun perdagangan jenis pertukaran barang yang mereka dapat dari hutan dengan barangan yang diperdagang oleh pedagang dari luar seperti bahan logam, siramik dan tembikar.)

Satu Cerita
Satu legenda diceritakan tentang aktiviti pertukaran barangan yang hanya diadakan pada waktu malam di antara pedagang orang luar dengan orang asli. Namun satu syarat yang wajib dipatuhi ialah tidak dibenarkan menggunakan  pelita. Jadi urusan pertukaran barangan berlaku dalam keadaan gelap dan sukar melihat muka antara satu. Orang asli memilih aktiviti tukar barang pada waktu malam kerana bertujuan menyembunyikan dan mengelakkan dilihat kecacatan tubuh dan muka mereka. Dikatakan lebih separuh dari orang asli dalam penempatan ini cacat muka  dan mengaibkan disebabkan penyakit keturunan. Tetapi berlaku satu kejadian ada dari pihak pedagang luar menyalakan api untuk merokok. Kejadian ini menyebabkan orang asli berhenti dari terus mengadakan urusan berdagang dengan pedagang orang luar kerana syarat yang mereka persetujui telah dilanggar. Kemudian meninggalkan penempatan dan berpindah tempat penempatan ke pedalaman.
Seorang datuk yang dilahirkan pada sekitar tahun 1898 dan meninggal dunia pada tahun 1990 menceritakan kisah satu daripada penempatan awal Mukim Kelawat.  Dia mendapat tahu kisah ini dari datuknya yang juga menurut datuknya ini juga diceritakan oleh datuknya.
Katanya orang-orang yang mendiami bukit ini dikenali dengan nama Gobukon. Apabila ditanya siapakah Gobukon dia mengaitkan orang ini dengan ciri-ciri kekuatan fizikal yang istemewa. Dia tidak menyebut sama ada mereka ini pahlawan perang tapi menceritakan orang Gobukon memiliki kekuatan fizikal yang diperlukan dalam kehidupan harian.
Orang Gobukon meninggalkan penempatan ini kerana kerap diserang oleh orang-orang yang datang dari laut yang dia namakan orang Maguindano. Dia sendiri pun tidak tahu siapa orang ini, tapi katanya dia mendapat tahu yang mereka ini tiba melalui laut dan kemungkinan berasal dari Filipina. Dari ceritanya, orang Gobukon kemudian berpindah jauh ke pedalaman dekat Gunung Kinabalu utara iaitu dekat Marak Parak, Daerah Kota Marudu. Pada masa kini ada Dusun Gobukon di Kampung Pinatau, Kota Marudu. Mungkinkah mereka ini Gobukon dari bukit ini pada suatu masa yang lalu?
Dia tidak menyebut sama ada wujud tempat perkuburan di situ. Bagaimanapun penulis telah menemui beberapa bahagian tulang manusia bersama serpihan tempayan dan satu logam tembaga/loyang berdekatan tulang-tulang manusia.
Tidak diketahui sama ada lokasi tulang itu merupakan kubur khusus ataupun manusia ini mati bersendirian kerana sakit. Kemungkinan ditinggalkan secara tergesa-gesa dan tidak berdaya melarikan diri. Ataupun ditinggalkan di situ dan dibiar mati sahaja disebabkan wabak penyakit ataupun kerana diserang oleh orang luar ataupun sebab-sebab lain. Kerana tulang ditemui di permukaan tanah bersama mulut tempayan kecil dan logam yang berbentuk gelang sebahagian. Ataupun tanah yang menutupi kubur itu telah menempuh hakisan air kemudian mendedahkan tulang-tulang.
Kemungkinan tulang ini perempuan muda berdasarkan tulang kecil dan penemuan logam berbentuk gelang sebahagian berdekatan tulang. Kemungkinan juga ada kubur lain di situ tetapi penulis tidak berusaha membuat pencarian. (NOTA: Tulang-tulang yang dijumpai itu telah dikumpul dan dimasukkan ke dalam plastik bekas air dan dikubur kembali oleh orang lain.) Tulang ini mungkin boleh digunakan untuk mendapatkan sample kajian DNA untuk tujuan mengealpasti kumpulan manusia.
Kampung Kelawat dilihat ke arah timur dari bukit ini.
Kemungkinan ada juga longgokan siput di tempat-tempat lain di sepanjang bukit pesisir pantai Sabah. Bagaimanapun kewujudannya mungkin tidak menarik untuk menjadi bahan kajian dan dokumentasi.
Pemandangan dari bukit ini ke arah timur
ialah sebahagian Kampung Kelawat.
Jika mereka ini pedagang ataupun pelaut dan lokasi ini menjadi penempatan sementara siapa dan dari manakah asal mereka?
Gambar orang Gobukon masa kini, mungkin mereka ini dari Kampung Pinatau,
Kota Marudu Sabah 
(Pesta Kaamatan KDCA Penampang 2019)
Jika mereka orang asli kampung ini siapakah keturunan mereka sekarang? Mengapa tidak ada penduduk dari Kampung Kelawat yang tahu kisah sebenar penempatan ini?
Pemandangan dari bukit ini ke arah barat ialah
Laut China Selatan.



Comments